Monday, 6 August 2012

Persiapan Menghadapi Lailatul Qadar


LAILATUL QADAR

LAILATUL QADAR : Dalam al-Quran, Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!" (Quran, Al-Qadr 97: 1-5)

Berdasarkan ayat di atas dapat dilihat bahawa malam al-Qadar disebut juga dengan malam yang penuh keberkatan. Sebab pada malam itu Allah mencucuri pelbagai rahmat, keampunan dan keberkatan kepada orang yang beramal dengan khusyuk dan berdoa dengan penuh keikhlasan.

Kepada mereka Allah memberikan ganjaran kebaikan yang sama nilainya dengan beramal seribu bulan. Firman Allah bermaksud: "Malam al-Qadar itu itu lebih baik daripada seribu bulan" (Surah al-Qadr, ayat 3) .

Firman Allah lagi:

Maksudnya: [3] Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab). [4] (Kami menurunkan Al-Quran pada malam yang tersebut, kerana) pada malam yang berkat itu, dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku, (tidak berubah atau bertukar). [5] Iaitu perkara-perkara yang terbitnya dari hikmat kebijaksanaan Kami; sesungguhnya telah menjadi adat Kami mengutus Rasul.
(QS Ad Dukhan: 3-5)

Istilah qadr mempunyai tiga maksud;

Pertama; menetapkan,
Kedua ; kemuliaan dan
Ketiga ; penyempitan.
Dilihat pada makna pertama iaitu menetapkan, pada malam tersebutlah Allah telah menentukan perjalanan hidup manusia melalui seruan dakwah Nabi Muhammad s.a.w. ke arah jalan yang hak dan menolak kebatilan dan itulah aturan jalan ketetapan yang ditentukan Allah walaupun penuh ranjau duri.

Kedua, malam tersebut adalah semulia-mulia malam jika diteliti berlakunya penurunan Al-Quran (nuzul Al-Quran) dan pengiktirafan Allah terhadap malam tersebut.

Ketiga, berlakunya kesempitan di dunia kerana jumlah kehadiran para malaikat yang membawa rahmat dan keampunan Allah.

Persiapan menghadapi malam Al-Qadr ialah selama 10 hari sebab ia berlaku pada 10 malam terakhir Ramadan, bukannya sehari dua. Pastinya Allah akan menganugerahkan malam Al-Qadr pada mereka yang bersedia untuk 10 malam dan bukan hanya untuk semalam dua sahaja. Inilah falsafah Lailatul Qadr iaitu kita perlukan dalam kehidupan ketika persiapan yang teliti tanpa membenarkan ruang-ruang kerugian untuk mendapatkan kerahmatan dan keredhaan Allah s.w.t. Adapun ketentuan malam Al-Qadr itu pada malam-malam ganjil adalah untuk tidak terlalu memenatkan kita beribadah berterusan pada 10 malam terakhir kerana ada keselangselian. Allah pastinya menganugerahkannya pada orang yang ikhlas.

SEBAB-SEBAB ALLAH ADAKAN MALAM LAILATUL QADAR

Allah SWT Taala yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, amat menyayangi hamba-Nya yang taat beribadat kepada-Nya, ia tidak lain adalah untuk menganugerahkan kepadanya pahala-pahal yang banyak, supaya dengannya dia akan dapat masuk syurga.

Terdapat beberapa pandangan ulama yang menyebut bahawa, Allah SWT mempunyai sebab kenapa Dia mengadakan Lailatul Qadr buat umat Nabi Muhammad s.a.w antara lain;

Menurut Imam Malik, Rasulullah melihat bahawa umur umatnya tidak sepanjang umat sebelum mereka, baginda bermohon kepada Allah memberikan peluang di mana umatnya supaya dapat beramal dengan yang nilainya sama dengan amalan umat sebelum mereka.

Sementara Imam al-Qurtubi pula berpendapat, Rasulullah diperlihatkan kepadanya usia umat terdahulu, maka Baginda berasa usia umatnya terlalu pendek hingga tidak mungkin dapat mencapai amal seperti yang diraih oleh umat terdahulu yang usianya panjang. Purata usia umat Muhammad antara 60 hingga 70 tahun menurut maksud satu hadis Rasulullah. Sebab itu Allah menawarkan malam al-Qadar yang mempunyai nilai pahala seribu bulan kepada Rasulullah, para sahabat malah kepada seluruh umat baginda s.a.w.

Justeru, malam al-Qadar adalah satu kurniaan Ilahi yang dianugerahkan oleh Allah kepada Rasulullah dan umatnya sebagai tanda kasih sayang dan rahmat-Nya yang menyeluruh. Amal kebajikan seseorang hamba Allah pada malam itu adalah lebih baik daripada amal kebajikan selama seribu bulan atau menurut ulama sebagai 83 tahun empat bulan.

APAKAH AMALAN MALAM LAILATUL QADAR

Malam lailatul Qadr adalah malam yang cukup istimewa yang tidak kedapatan pada mana-mana malam. Amalan yang mesti dilakukan pada malamnya ialah memperbanyakkan ibadah, membaca Al-Quran, beriktikaf dan berdoa.

Dalam sebuah hadis daripada Aisyah r.a. berkata:
``Ya Rasulullah bagaimana kalau saya bertemu Lailatul Qadar? Apa yang harus saya ucapkan pada malam itu?'' Baginda bersabda: Ucapkanlah: ``Ya Allah kami bermohon pada-Mu, Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, suka mengampuni (hamba-hambaMu), maka ampunilah (dosa-dosa) kami.'' (Riwayat Tirmizi, Nasa'i, Ibnu Majah dan Ahmad).

Doa lain yang baginda baca ialah seperti berikut yang bermaksud: Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami kebajikan di dunia dan kebajikan di akhirat, dan
peliharalah kami dan siksa neraka (QS Al-Baqarah [2]: 201).




sumber:ensiklopediamuslim



No comments:

Post a Comment